Friday, 15 May 2009

SEPI

Sudah satu bulan lebih sekolah ini ditutup perkhidmatannya. Ini bererti satu bulan lebih juga murid-murid di sekolah ini bersekolah di Sekolah Rendah Kampong Bukit Tutong. Aku sangat merindui mereka, aku sangat merindui kelibat mereka, aku sangat merindui senyum-tawa mereka dan aku sangat merindui suara-suara mereka. Kini aku kehilangan ucapan "Selamat Pagi" dari mereka, aku kehilangan "Good Morning Sir" dari mereka, aku kehilangan segala-galanya dari mereka. Percayalah aku sangat merindui dan menyayangi kamu.

Ini dia papan tanda Sekolah Rendah Long Mayan yang masih terpacak indah di sisi bangunan sekolah. Kini papan tanda ini tiada ertinya lagi, cuma yang ada adalah sisa-sisa kenangan yang sangat menyayat hati.



Inilah Bendera Brunei yang berkibar megah di sekolah ini. Bendera ini dinaikan oleh buruh sekolah yang masih bertugas di sekolah ini. Namun kibaran bendera ini akan terhenti pada bila-bila masa setelah buruh sekolah berpindah ke tempat lain. Kerana bendera inilah kami berdiri tegak dan bernyanyi setiap hari, kerana bendera inilah masyarakat luar mengenal sekolah kami, dan kerana bendera ini aku menjejak kaki ke kampung ini.



Inilah dapur Sekolah Rendah Long Mayan. Bangunan yang kecil molek ini telah banyak sekali mengisi perut kami yang belajar dan mengajar di sini. Kini bangunan ini tinggal sepi tanpa asap-api yang bernyala lagi. Pinggan-mangkuknya kini sudah tersimpan rapi menunggu masa dan ketika untuk dihapuskan.




Ini pula pejabat guru besar yang tidak ubah sebuah stor kecil. Namun aku gembira bekerja di sini. Di sinilah jari-jemariku memetik punat komputer menumpah jasa bakti kepada bangasa dan negaraku. Di sinilah juga air mataku mengalir dikala bekerja keseorangan ketika semua kaki-tangan sekolah sudah melangkah kaki kembali ke tempat masing-masing.




Ini wajah sepi bilik darjah yang telah dikosongkan kerusi-mejanya. Bilik darjah ini telah mecatat sejarah besar bagi penduduk kampung yang pernah bersekolah di sini. Pada tahun lepas murid-murid yang belajar di bilik darjah ini telah mecatat 100% lulus dalam PSR2008.




Ini pula "Grand Stand" tempat para jemputan berkumpul jika ada acara padang diadakan. Grand Stand ini dibina oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Pada tahun lepas bangunan ini dipenuhi oleh warga kampung ketika kami menyambut 'Majlis Penutup Sekolah'. Tanpa kuduga tempik-sorak dan riuh-rendah suara kami pada hari itu merupakan detik-detik terakhir buat kami.





Ini Dewan Sumbangsih Sekolah Rendah Long Mayan yang dibina beramai-ramai oleh penduduk kampung dengan bantuan Jabatan Pelajaran ketika itu. Dewan ini telah banyak kali mencatat sejarah bagi majlis-majlis keramaian, perkumpulan atau perundingan.






Ini pula bangunan kantin sekolah. Keadaan bangunan ini cukup menyayat hati dan emosi. Namun inilah hakikatnya. Dengan berbekal 20sen sehari aktiviti berjual-beli dilaksanakan dengan budi dan hati. Namun 80% daripada murid-murid di sini langsung tiada duit belanja. Kepada anak-anakku cuba kamu ambil iktibar dan teladan perkara ini.




Kerja-kerja pemeriksaan harta benda kerajaan yang hendak dihapuskan dari kira-kira. Gambar di atas menunjukan beberapa orang pegawai dari RTB Unit Siaran Luar membuat pemeriksaan terhadap beberapa alatan tv yang terdapat di sekolah ini.




Mengambil kesempatan bergambar sebagai kenangan manis menjejakkan kaki di sekolah ini. Kata mereka sekolah ini cukup indah, damai dan menarik. Apkah ini kali pertama dan terakhir mereka datang ke sini?... Semoga kunjungan mereka ke sini menjadi kenangan manis bagi mereka.





Sekian dulu buat kali ini. Jumpa lagi di lain kesempatan. KlikKlik!



















No comments:

Post a Comment